Tuesday, March 22, 2011

Marah Menurut Al-Quran


Menurut al-Quran, marah digambarkan sebagai satu kekuatan jahat yang memaksa individu untuk melakukan hal-hal yang tidak masuk akal. Hal ini dapat dilihat ketika Nabi Musa a.s sedang marah, baginda mencampakkan kitab-kitab dan menarik kepala saudaranya. Namun selepas kemarahan itu reda, Nabi Musa mengutip semula kitab tersebut. Di sini dapat dilihat dengan jelas akan perbezaan antara kedua-dua situasi tersebut.

Seorang saintis kanan di Kuwait Institute for Scientific Research, Dr. Mirza Umair Beg, menceritakan bahawa anak lelakinya yang berusia enam tahun kerap marah walaupun dalam hal-hal yang kecil. Apabila anak lelakinya marah, isteri beliau akan menenangkannya sambil memberitahu "Sekarang kamu dikawal oleh syaitan, mari ibu halau syaitan tersebut". Kemudian, isterinya membaca beberapa potong ayat suci al-Quran dan menghembuskan ke muka anak lelakinya. Selepas itu, berulah anak lelakinya sedar dan kemarahannya mereda setelah ibunya membaca ayat-ayat tersebut dan menghembuskan ke mukanya.

Dalam satu lagi kejadian di zaman Rasulullah s.a.w., Mu'adh ibnu Jabal r.a berkata: "Dua orang berselisihan pendapat dan salah seorang daripada mereka menjadi sangat agresif sehingga aku menyangka hidungnya akan patah akibat dari perkelahian itu. Nabi berkata, 'Aku mengetahui satu ayat yang apabila dibaca akan mengusir kemarahannya pergi'. Sahabat bertanya, apakah ia wahai Rasulullah? Lalu Baginda menyebut: "أعوذ بالله من الشسطان الرجيم" yang membawa maksud - 'Aku berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam'.


Firman Allah s.w.t: "Orang-orang yang bertakwa ialah orang yang berinfak (bersedekah) baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan." (Al-Imran: 134)

Rasulullah s.a.w. telah mengajarkan kepada kita bahawa kekuatan itu dapat dilihat pada ketenangan diri dan bukannya kemarahan yang tidak terkawal.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawasanya ada seseorang telah berkata kepada Nabi s.a.w.: Berpesanlah kepadaku! Jawab baginda: Jangan marah! Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap berkata: Jangan marah!

Hadis ini menganjurkan kita supaya jangan selalu marah kerana marah itu tergolong dalam sifat yang tercela yang dibenci oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Dalam mentakrifkan sifat marah, Imam Ghazali berkata: "Marah ini sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang menyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati dan api itu bersemadi pula di lubuk hati hingga membara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya pula terpancar sifat bongkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong seperti terpancarnya api dari batu yang bergeser dengan besi."

Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebalinya, marah yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya.

Kedua-dua ayat al-Quran ini menyuruh kita semua untuk menahan marah serta menjauhinya. Namun begitu, sekiranya kita telah terlanjur melepaskan kemarahan kita pada orang lain, kita juga dituntut untuk memaafkan kesalahan orang lain. Hal ini adalah supaya perasaan marah, benci dan dendam itu tidak bersarang di dalam hati kedua-dua belah pihak. Bukankah ini boleh membawa kepada pengukuhan ikatan silaturahim yang terjalin?

No comments:

Post a Comment