Saturday, April 16, 2011

Konfusianisme di Korea - 한국의 유교

Korea Selatan merupakan salah satu negara di kawasan Asia Timur Laut dan terletak di pertengahan negara besar iaitu Jepun, China dan Rusia. Kedudukan tersebut memberikan keuntungan dan dan juga kerugian bagi Korea Selatan. Keuntungan dilihat dari sudut strategi, negara ini merupakan negara yang berfungsi sebagai jambatan penghubung ketiga negara besar tersebut dengan dunia luar. Kerugian pula kerana Korea Selatan menjadi titik strategik dalam gelanggang pertarungan antarabangsa terutama antara Jepun, China dan Rusia. Hal ini yang menyebabkan terjadinya penjajahan Jepun di Korea Selatan pada tahun 1910.


Kedudukan yang menguntungkan bagi Korea Selatan ini telah memberikan kemudahan terhadap penerapan dan pembelajaran mengenai hal-hal baru seperti seni dan budaya dari negara jiran. Sepanjang sejarah, Korea Selatan banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Cina. Salah satunya adalah ajaran Konfusianisme yang berasal dari Cina yang kemudiannya berkembang luas ke negara Jepun melalui Semenanjung Korea Selatan. Maka hal ini memberikan peluang besar bagi bangsa Korea Selatan untuk menyerap dan mempelajari ajaran yang dibawa dari Cina tersebut. Pada kenyataannya, nilai yang diserap dari China tersebut tidak berkembang di China tetapi berkembang dan berakar kuat dalam setiap lapisan kehidupan bangsa Korea Selatan.


Ajaran Konfusianisme di Korea Selatan telah berkembang menjadi satu bentuk prinsip moral dan etika. Ajaran Konfusianisme seperti perikemanusiaan (Jen), kelayakan (Yi), sopan santun (Li), kebijaksanaan (Zhi), pendidikan, pembetulan nama (Cheng Ming), berbakti kepada keluarga, dan keharmonian sosial. Pada mulanya ia hanya satu rangkaian prinsip, kemudian berubah kepada bentuk ritual. Kini ajaran Konfusianisme telah menjadi satu tuntutan yang penting terhadap tingkah laku dalam setiap lapisan kehidupan di Korea Selatan. Konfusianisme telah memberikan pengaruh yang begitu besar dalam proses modenisasi sosio-ekonomi dan politik dengan melihat latar belakang sejarah Korea Selatan yang suram dan proses yang dialaminya.


Perjalanan sejarah Korea Selatan mengalami masa yang sangat sulit kerana penguasaan kolonial dan kekacauan pasca-kemerdekaan Korea Selatan. 30 tahun yang lalu, Korea Selatan adalah sebuah negara yang dijajah oleh pemerintah kolonial yang kejam, berlakunya perang awam, pemerintah yang diktator dan sebagainya. Hal ini menyebabkan Korea Selatan ketinggalan dalam bidang ekonomi mahupun politik. Ajaran konfusianisme secara tidak langsung memegang tanggungjawab ke atas pertumbuhan ekonomi dan sistem politik yang kuat dalam rangka modenisasi di Korea Selatan. Ajaran Konfusianisme telah memberikan satu arah falsafah dan 'watak' bagi bangsa Korea Selatan serta menjadi pendorong berlakunya perubahan politik, kebudayaan, dan ekonomi nasional yang penting.


Desa Cheonghakdong


Desa Cheonghakdong yang terletak di sebelah selatan puncak Samsinbong di Gunung Jirisan tetap memelihara dan mempertahankan gaya tradisional kehidupan seharian masyarakat Korea. Konfusianisme diperkenalkan beserta contoh-contoh awal tulisan-tulisan dari Cina kira-kira pada awal perkembangan agama Kristian. Tiga Kerajaan iaitu Goguryeo, Baekje, dan Silla meninggalkan catatan-catatan yang menunjukkan pertapakan awal pengaruh Konfusianisme.


Pada masa Kerajaan Goguryeo, sebuah universiti negeri bernama Daehak didirikan pada tahun 372 dan institut Konfusianisme swasta turut ditubuhkan. Institut ini merupakan rentetan usaha yang dilakukan dari Kerajaan Baekje. Kerajaan Silla Bersatu mengutuskan para cendekiawan ke daerah Tang di Cina bagi melihat prestasi institusi-institusi Konfusianisme tersebut secara langsung dan membawa pulang sejumlah besar tulisan-tulisan mengenai hal ini. Bagi Dinasti Goryeo pada abad ke-10, agama Buddha adalah agama negara dan Konfusianisme menjadi tonggak kedua bagi struktur dan falsafah negara. Ujian pegawai negeri Gwageo yang diadaptasi mengikuti sistem di Cina pada akhir abad ke-10, memberi dorongan besar dalam mempelajari kitab-kitab klasik Konfusianisme serta berhasil menanamkan nilai-nilai Konfusianisme secara mendalam terhadap pemikiran rakyat Korea.


Dinasti Joseon yang didirikan pada tahun 1392, menerima aliran Konfusianisme sebagai ideologi rasmi dan mengembangkan sistem pendidikan, upacara dan pentadbiran awam yang didasarkan kepada Konfusianisme. Ketika negara-negara Barat dan Jepun mula melakukan serangan ketenteraan pada akhir abad ke-19 untuk memaksa Korea menerima pengaruh luar, para pendokong ajaran Konfusianisme membentuk ”antara kebenaran” untuk bertempur menentang para penyerang asing.


Sistem pendidikan menjadi tonggak utama pembentukan masyarakat harmoni


Usaha juga dilakukan untuk melakukan reformasi Konfusianisme dan menyesuaikannya dengan keadaan zaman yang berubah. Maka orang yang melakukan gerakan reformasi ini menerima peradaban Barat dan berusaha mendirikan pemerintahan yang moden serta merdeka.


Di samping itu, selama tempoh penjajahan Jepun di Korea, di kalangan ahli yang melakukan reformasi dalam aliran Konfusianisme bergabung dengan gerakan-gerakan kemerdekaan untuk menentang pemerintah empayar Jepun. Kini, upacara Konfusianisme untuk menghormati roh nenek moyang tetap dilaksanakan dan ketaatan anak pada orang tua sangat dihargai sebagai suatu bentuk kebajikan dalam masyarakat Korea.


Ajaran Konfusianisme yang begitu besar hingga mempengaruhi setiap lapisan kehidupan di Korea Selatan tidak hanya diterima secara baik tetapi dalam masa yang sama turut ditanggapi secara kritikal. Terdapat kesamaran terhadap pengaruh ajaran Konfusianisme dalam proses modenisasi di Korea Selatan. Kesamaran ini timbul kerana ajaran Konfusianisme memberikan pengaruh yang positif dan negatif. Menurut Weber, Konfusianisme merupakan halangan terhadap pembangunan ekonomi dengan alasan bahawa kegagalan sebuah negara seperti China atau Korea Selatan untuk mencapai suatu puncak ekonomi pada saat pengaruh Konfusianisme berada di titik puncak.


Di samping itu, ekonomi Korea Selatan yang sebelumnya mengalami pertumbuhan yang dinamik dan cepat kerana kesan daripada penerapan ajaran Konfusianisme. Hal yang sama juga berlaku terhadap bidang sosial dan politik. Pelaksanaan ajaran Konfusianisme dalam bidang sosial menekankan kepada ajaran tentang kemanusiaan (Jen), prinsip hierarki dan kedudukan dalam hubungan sosial iaitu lima hubungan. Ajaran seperti ini sangat mempengaruhi tatacara pergaulan sosial di Korea Selatan. Pelaksanaan ajaran Konfusianisme telah memberikan sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi yang cepat dalam rangka proses modenisasi di Korea Selatan.


Ajaran Konfusianisme yang dilaksanakan dalam kehidupan sosial di Korea Selatan telah membantu proses pertumbuhan ekonomi Korea Selatan yang cepat. Ajaran Konfusianisme yang dilihat sebagai faktor pertumbuhan ekonomi yang cepat di Korea Selatan adalah ajaran mengenai kepatuhan dan kesetiaan, kefahaman bahawa negara adalah agen moral yang aktif dalam pembangunan masyarakat, penghormatan ke atas status dan hierarki, penekanan kepada pembangunan diri dan pendidikan dan perhatian terhadap keharmonian sosial. Dalam Konfusianisme berpendapat bahawa pendidikan memiliki dua tujuan iaitu tujuan secara khusus dan secara umum. Secara khusus untuk membimbing dan mendidik agar sentiasa bersedia sebagai generasi-generasi pewaris bangsa dan secara umumnya adalah untuk mewujudkan di kalangan manusia yang bermoral, bijaksana dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat, bangsa dan negara.


Di Korea Selatan, pendidikan merupakan faktor penting untuk menentukan kedudukan seseorang dalam masyarakat. Seseorang yang ingin meningkatkan status sosial dan kehidupan ekonomi harus mempunyai gelaran sarjana dengan mengikuti ujian pegawai pemerintahan. Ujian saringan dilakukan dengan ketat kerana pegawai pemerintahan merupakan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Korea Selatan. Pendidikan berperanan penting dalam peningkatan dan pengembangan diri seseorang menuju taraf hidup yang lebih baik. Pendidikan sangat berpengaruh besar dalam pertumbuhan ekonomi di Korea Selatan. Dari sudut politik, Konfusianisme boleh dikategorikan kepada 3 bahagian iaitu:


1) Ideologi Politik

2) Gerakan Politik

3) Sistem Politk


1) Ideologi Politik


Ajaran Konfusianisme di Korea Selatan telah menjadi budaya tersendiri yang membentuk tindakan masyarakat. Ajaran Konfusianisme adalah salah satu dari adat istiadat dan warisan yang membentuk strategi tindakan dalam masyarakat Korea Selatan kontemporer. Ajaran Konfusianisme merangkumi mengenai seni dan pengetahuan mengenai pemerintahan yang baik yang didasarkan kepada prinsip-prinsip etika dan moral. Prinsip tersebut mengajar bahawa menteri dan raja harus belajar untuk menguasai dan memerintah wilayah serta mengatur rakyatnya.


Dalam hal ini, ajaran Konfusianisme merupakan teori politik yang menawarkan panduan secara praktikal kepada para pemerintah. Konfusianisme sebagai ideologi juga menggambarkan sebuah masyarakat yang mempunyai susunan organisasi di mana kekuasaan dikukuhkan oleh kebajikan kelas atasan terhadap kelas bawahan dan kesetiaan antara satu sama lain serta kepatuhan rakyat terhadap negara. Politik dalam teori Konfusianisme merupakan pelengkap kepada sebuah sistem sosial universal yang diatur oleh nilai-nilai tertentu dan diharmonikan melalui kepatuhan terhadap norma-norma yang ada.


Menurut ideologi ini, sebuah negara harus diperintah oleh penguasa yang baik dan dibantu oleh menteri-menterinya yang setia dan peraturan-peraturan yang telah dibuat didokong oleh pandangan rasional etika mengenai keselarasan alam dan manusia. Dalam hal ini, ajaran Konfusianisme memberikan penekanan yang lebih besar kepada organisasi politik yang mengagungkan prinsip moral.


Dalam Konfusianisme, konsep moral dan politik tidak dapat dipisahkan kerana terdapat hubungan yang penting antara individu, keluarga, masyarakat, dan negara. Hal ini menjadi doktrin politik dalam hal pembangunan diri, pengaturan keluarga, keselarasan sosial, dan aturan politik.


2) Gerakan Politik


Konfusianisme sebagai gerakan politik lebih terarah kepada suatu sistem praktikal daripada suatu sistem idea. Dalam hal ini, Konfusianisme memperjuangkan politik dan moral yang menjadi landasan bagi melahirkan masyarakat yang stabil dan selaras. Ianya dianggap sebagai sebuah sistem praktikal kerana lebih kepada tindakan ajaran Konfusianisme itu sendiri dalam kehidupan politik. Contohnya, usaha reformasi terhadap bidang pertanian yang dilakukan oleh para sarjana di Korea Selatan pada abad 17-18.


Boleh dikatakan bahawa doktrin politik pelaksanaan pemerintahan selama tempoh pemerintahan di bawah naungan ajaran Konfusianisme terbahagi kepada tiga peringkat yang masing-masing menekankan Kyongse (persoalan bagaimana untuk mengatur dunia), Chemin (persoalan bagaimana untuk menyelamatkan rakyat) dan Ch'iguk (persoalan bagaimana untuk memerintah negara).


3) Sistem Politik


Konfusianisme sebagai sistem politik dapat dilihat pada zaman dinasti Chosun. Sistem politik yang digunakan pada masa itu adalah sistem kerajaan dan birokrasi. Korea Selatan adalah negara kerajaan tetapi rajanya diperkuatkan oleh keturunan bangasawan Yangban. Satu bentuk pola timbal balik digunakan untuk menetapkan sifat hubungan yang terjalin antara kerajaan dan bangsawan. Hubungan timbal balik antara struktur pemerintahan kerajaan, birokrasi dan berpusat dengan sistem sosial bangsawan dan hierarki menghasilkan kedamaian dan kestabilan Dinasti Chosun yang bertahan cukup lama sehingga 5 abad.


Keseluruhan formula ajaran Konfusianisme di atas mempengaruhi proses modenisasi Korea Selatan dan pembentukan identiti kebangsaan Korea Selatan yang sedang mengalami perubahan.


MODENISASI DI KOREA SELATAN


Perubahan yang terjadi dalam masyarakat moden didorong oleh keinginan manusia untuk maju dan berkembang seiring dengan perubahan zaman. Perkembangan masyarakat tradisional berubah kepada masyarakat moden ditandai dengan pelbagai kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang lebih kepada kepentingan-kepentingan masyarakat umum.


Dewasa ini, modenisasi adalah salah satu hasil dari tindakan manusia untuk mewujudkan cita-citanya iaitu untuk mencapai kemakmuran dan kesejahteraan. Modenisasi di Korea Selatan berlaku pada abad 20 yang ditandai dengan adanya industri ekonomi yang dipimpin oleh negara. Korea Selatan termasuk sebuah negara yang 'suram' dalam menjalankan industri ekonominya kerana keadaan politik dan sejarah yang baru merdeka dan terbahagi rentetan daripada Perang Dunia II. Melalui proses yang dialaminya, Korea Selatan telah mengejutkan dunia antarabangsa dengan kejayaannya menjadi salah satu negara di dunia yang memiliki peringkat ekonomi yang paling dinamik dan pada tahun 1980-an dengan mengubah dirinya menjadi sebuah negara demokratik.


Kejayaan yang diraih oleh Korea Selatan merupakan hasil dari tindakan yang dilakukan oleh rejim autoritarian serta model politik autoritarianisme. Autoritarianisme* berkembang pesat di Korea Selatan kesan dari pelaksanaan ajaran Konfusianisme. Akan tetapi, ketika Korea Selatan telah berubah menjadi sebuah negara demokratik, maka autoritarianisme seakan 'terdesak' oleh sistem baru tersebut yang secara prinsipnya bertentangan dengan ajaran Konfusianisme. Tradisi autoritarian lebih ke arah kepada penyalahgunaan kekuasaan di mana penguasa menggunakan kekuasaan tersebut untuk kepentingan peribadi dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat. Autoritarianisme bermaksud fahaman yang menyokong campur tangan pihak berkuasa secara total dalam pentadbiran negara.


Biasanya, kerajaan yang mengamalkan sistem ini adalah kerajaan diktator di mana pemimpinnya mempunyai kuasa eksekutif penuh untuk mengawal pihak berkuasa seperti polis dan penguasa tempatan. Contohnya, di Korea Selatan perbezaan kelas begitu tajam sehingga terjadi jurang ekonomi yang begitu jelas kerana tradisi autoritarian yang tidak memberikan persamaan darjat dalam setiap lapisan kehidupan untuk meningkatkan taraf hidupnya. Konfusianisme sebagai sistem sosial bagi kewujudan aristokrasi yang sangat berkuasa terutama dalam kes pemilikan tanah menjadi bukti bahawa berlakunya ketidakstabilan sosial-ekonomi.


Rejim autoritarian di Korea Selatan melakukan pelbagai tindakan untuk menindas dan menyingkirkan sektor umum terutama yang ada dalam masyarakat awam dan menolak peranan aktif serta penglibatan mereka dalam politik. Rentetan daripada fenomena di atas, ajaran Konfusianisme menjadi hambatan dan penghalang utama usaha modenisasi melalui sistem yang baru di Korea Selatan iaitu sistem demokrasi. Namun begitu, faktor ini telah memberi ruang Korea Selatan kepada pertumbuhan sosio-ekonomi yang cepat dan transformasi politik yang kuat.


Ajaran Konfusianisme memberikan pengaruh yang sangat besar ke arah modenisasi di Korea Selatan. Hal ini dapat dilihat dari perlaksanaan ajaran tersebut dalam setiap bidang yang menjadi faktor penting dalam proses modenisasi. Perlaksanaan dalam bidang sosial, ekonomi dan politik telah memberikan sumbangan positif bagi kejayaan modenisasi Korea Selatan yang ditandai dengan adanya pertumbuhan sosio-ekonomi politik yang cepat dan kuat serta tranformasi politik menjadi negara demokrasi.


Konfusianisme yang bermula sebagai suatu bentuk prinsip dan ritual yang ditujukan untuk menyelaraskan hubungan antara manusia. Kini ianya telah menjadi tuntutan tingkah laku sosial dan dalam masa yang sama ianya menjadi penghalang utama dalam kejayaan modenisasi masa hadapan di Korea Selatan. Kenyataan tersebut menjadi satu kesamaran akibat dari kenyataan bahawa ajaran Konfusianisme merupakan faktor yang menjadi penyebab kejayaan modenisasi.


Dalam hal ini, masyarakat Korea Selatan dikatan perlu menemukan gaya dan pola penyesuaian moden ajaran Konfusianisme melalui sistem yang baru agar tidak menutup 'pintu' kejayaan modenisasi pada tahap seterusnya.

No comments:

Post a Comment