Aliran Konfusianisme merupakan satu aliran besar yang menjadi pegangan masyarakat Cina hingga ke hari ini. Dalam sejarah awal kemunculan, Konfusianisme dicatatkan sebagai satu aliran bukan agama secara mutlak tapi ianya lebih cenderung dirujuk sebagai satu aliran falsafah.
Konfusianisme merupakan satu sistem pemikiran yang dibentuk dan diasaskan oleh Kung Fu Tze. Kung Fu Tze dikenali sebagai seorang tokoh peradaban Cina yang ulung. Pada peringkat awal, beliau membentuk ajaran yang dipengaruhi oleh keinginan untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika (akhlak) manusia.
Namun Selepas kematian tuan guru Kung Fu Tze, munculnya individu mahupun kumpulan (pengikut) yang mula melaksanakan aktiviti pemujaan terhadap Kung Fu Tze sehingga menghasilkan upacara-upacara keagamaan tertentu dan wujudnya dewa-dewa yang harus dipercayai sehingga ajaran ini ditanggapi sebagai satu ajaran keagamaan.
Diseluruh dunia pada masa ini dianggarkan terdapat 6 juta orang yang mengaku diri mereka sebagai penganut aliran Konfusianisme. Aliran ini menjadi satu keprcayaan tradisional terbesar dalam sistem falsafah dan kepercayaan bangsa cina. Kawasan utama ajaran ini tersebar di sekitar asia tenggara khususnya, asia dan terdapat sebilangan kecil di eropah dan lain-lain khusunya dikalangan bangsa Cina. Antara negara yang terlibat seperti China, Vietnam, Korea Utara dan selatan, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Malaysia dan sebahagiannya di Jepun.
Kemunculan KONFUSIANISME
Ajaran Kung Fu Tze ini merupakan ajaran yang cenderung membentuk satu sistem moral yang diasaskan kepada nilai akhlak, sifat kemanusiaan dan perasaan kasih sayang. Ini disebabkan oleh pengalaman yang dilalui oleh Kung Fu Tze sendiri yang dilahirkan dan hidup dalam zaman pemerintahan yang kelam kabut dan kacau bilau. Pemerintah yang menindas rakyat, makan rasuah, sistem pendidikan yang tidak adil dan hanya ditawarkan kepada golongan bangsawan dan seumpamanya.
Dengan sebab itu, Kung Fu Tze memberi penekanan terhadap pembentukan nilai akhlak dalam diri manusia (terutamanya 5 nilai akhlak yang utama Ren : Peri kemanusiaan, Li : Kesusilaan, Yi: Keadilan, Zhi: Kebijaksanaan dan Xin: Layak Dipercayai) dan hubungan manusia dengan manusia dalam ajarannya seperti ajaran Wu Lun yang mengajar cara hubungan yang terbaik antara Pemerintah dan Rakyat, Ibu bapa dan Anak, Suami dan isteri, Orang Tua dan Orang Muda serta kawan dan kawan. Kata kunci utama dalam ajaran ini adalah membentuk displin kepatuhan dan ketaatan dalam diri dengan cara yang sebaiknya . Matlamat tertinggi adalah menjadi manusia agung/(Chun Tze/Junzi).
Adakah Konfusianisme Sebuah Agama
Sebagai satu agama yang muncul dalam peradaban Cina, aliran ini mempunyai pendirian yang berbeza terhadap agama berbanding barat. Mereka menganggap agama adalah satu bentuk sistem pendidikan.Dengan sebab itu perkataan Chiao dalam masyarakt Cina membebawa kepada dua maksud iaitu agama dan pendidikan. Maka menurut pendukung Konfusianisme, matlamat agama adalah untuk menerapkan dan membentuk nilai moral dalam diri manusia.
Aliran ini tidak mempunyai kepercayaan “adanya Tuhan disebalik alam ini”, tidak mempunyai dakwaan-dakwaan kebenaran seperti yang muncul dalam agama-agam samawi, tidak membincangkan soal akhirat, kerohanian dan seumpamanya, tidak mempunyai institusi keagamaan yang bersistem, dan tidak mempunyai tempat ibadah khusus seperti gereja. Ini menyebabkan ramai sarjana tidak menganggap ajaran ini sebagai ajaran agama berbanding dengan Taoism dan agama Buddha.
Namun terdapat sebahagian ajran dan kepercayan mereka yang mempunyai kaitan dengan kehidupan roh iaitu walapun mereka berpegang bahawa manusia hendklah berusaha dalam menentukan nasib diri masing-masing tanpa boleh berserah sahaja kepada takdir, namun dengan pengaruh kepercayaan tradisional Cina yang muncul sebelum ini, Konfusianisme turut percaya terhadap penglibatan ruh nenek moyang dalam kehidupan seharian manusia di dunia. Dalam hal ini mereka percaya mengenai adanya kuasa langit (Tien/Shien) dan pengaruhnya terhadapa manusia.
Pengasas Konfusianisme: KUNG FU TZE (551-479 BC)
Kung Fu Tze dilahirkan di Kg Chang Ping daerah Lu (raja), Duchy pada 551 SM. Kini dikenali sebagai Wilayah Shandong/Shantung (terletak di timur laut China). Nama sebenarnya ialah Kong Qiu/ Kong Chiu. Gelaran Qiu/ Chiu ini didakwa digelar berdasarkan bentuk dahinya yang menonjol seperti bukit (Qiu). Beliau lebih dikenali dengan sebagai Kong Fuzi (Guru Kong) atau Kongzi.
Nama keluarganya adalah K’ung. Bapanya bernama Shu-Lian Heih dan ibunya bernama Yuan Zhenf. Beliau berasal dari keturunan keluarga bangsawan tradisional. Namun akibat peperangan, pergaduhan dan situasi huru hara yang berlaku semasa akhir dinasti Chou Barat maka keluarga ini menjadi miskin.
Kematian ayah ketika berumur 3 tahun dan ibu ketika berumur 23 tahun.Membesar dengan berdikari, dan berkahwin dengan isterinya Kai Guan ketika berusia 20 tahun dan dikurniakan anak lelaki bernama Kung Li. Isterinya meninggal ketika berusia 66 tahun dan tinggal bersama anak. Kung mempunyai seorang cucu yang paling rapat bernama Keigh dan akhirnya menjadi pengembang ajaran datuknya.
Dari sudut pendidikan, kepintaran Kung telah diakui sejak kecil dan guru-gurunya mengakui bahawa beliau seorang yang rajin, tekun dan pintar dalam pelajaran. Akibat dari hidup dalam kemiskinan, orang biasa termasuk Kung sukar untuk mendapatkan pendidikan kerana pada ketika ini pendidikan hanya diberikan kepada golongan bangsawan dan raja. Beliau membuat keputusan untuk memilih jalan hidup yang tersendiri khususnya dalam menimba ilmu. Sebelum usia 15 tahun, Kung telah memasuki sekolah rakyat dat mengikuti upacara keagamaan. Namun beliau tidak dapat meneruskan pelajaran ke sekolah kerajaan akibat kemiskinan.
Kung bertekad untuk belajar sendiri. Seawal usia 15 tahun beliau telah mempelajari pelbagai jenis pelajaran seperti muzik, sastera, adat-adat lama china, kepimpinan, ilmu tatacara etika dalam kehidupan dengan cemerlang. Seperti yang dijelaskan oleh muridnya bahawa Kung Fu Tze berkata:
“Dalam mencapai umur 15 tahun, saya telah memfokuskan minda saya untuk belajar”.
Buktinya di usia awal 20 tahun, kebijaksanaan dan kepintaran beliau semakin terserlah sehingga Kung berjaya menjawat jawatan sebagai pemimpin di peringkat daerah dan pelantikan ini menyebabkan idea dan pemikiran beliau tersebar luas dan ketokohannya semakin dikenali ramai.
Sebagai seorang pendidik, beliau mula membuka kelas-kelas pengajaran etika yang lebih luas, mempunyai ramai pengikut, memenuhi usia emas yang tinggal dengan mengarang sejarah peradaban negaranya, mengukuhkan prinsip-prinsip muzik, membuat sajak-sajak, membentuk sistem-sistem kesenian, upacara, perayaan dan etika.
Beliau menjadi tempat rujukan dan pelbagai pihak khususnya dalam menghadapi masalah kehidupan dan orang ramai berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan sehingga dengan sebab itu beliau diberi gelaran Kung Fu Tze (Yang dipertua Kung). Beliau memberi kuliah dan mengajar pelbagai ilmu pengetahuan kepada masyarakat (murid-muridnya).
Kung menekankan pengajaran terhadap enam bahagian utama dalam warisan peninggalan budaya Cina iaitu I-Ching, sajak, sejarah, upacara-upacara adat, muzik dan tarian serta peristiwa dalam sejarah musim bunga dan luruh (The Spring and the Autumn Annals) yang masyhur di negaranya.
Beliau menerima siapa saja untuk menjadi muridnya tanpa memandang miskin atau kaya dan semuanya diberikan pelajaran sesuai dengan kemampuan masing-masing. Sebagai seorang guru, Kung tidak mengenakan yuran yang tinggi kepada murid-muridnya tetapi beliau lebih mementingkan murid-muridnya agar memberi perhatian dan pemahaman yang sepenuhnya terhadap pengajaran yang disampaikan. Rumah beliau juga sering dijadikan tempat perkumpulan dan perbincangan para ilmuwan dan bijaksana.
Dari sudut pekerjaan, Kung telah melakukan berbagai pekerjaan seperti ketua petani di lombong padi, penyelia bangunan, pentadbir daerah dan pendidik. Mengakhiri usia tua dengan tugas-tugas mendidik sama ada untuk golongan awam mahupun bangsawan.Pekerjaan Kung yang paling besar sumbangannya adalah dalam bidang pendidikan dan politik.
Setelah kematian bapanya, Kung menjadi petani bersama ibunya untuk menyara hidup. Ketika berusia 20 tahun, beliau menjadi pengurus stor gandum dan berjaya menjalankan pekerjaan dengan penuh amanah sehingga setahun kemudian dinaikkan pangkat menjadi pengurus ladang. Dalam masa yang sama turut menjadi pengurus upacara pengebumian di negeri Lu. Setelah kematian ibunya pada usia 23 tahun, Kung menjalani masa dukacitanya dengan meletakkan jawatan sebagai pengurus ladang dan meneruskan pembelajaran dan kajian dalam bidang sejarah dan falsafah China.Setelah selesai dukacitanya, beliau tidak kembali kepda jawatan asal tapi mneruskan usaha untuk mendidik orang awam.
Sebagai seorang ahli politik/pemerintah, beliau dikenali sebagai seorang arif dan bijaksana. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pekerjaan Awam, Komander Polis serta Menteri Kehakiman yang berperanan menjaga ketertiban dan keamanan masyarakat dan negara bermula dari usia 30 tahun sehingga beliau berusia 50 tahun. Pelbagai polemik politik dihadapi seperti masalah rasuah, perebutan kuasa, pergaduhan antara daerah dan seumpamanya. Maka semasa Kung menjadi ketua pemerintah, beliau mewajibkan semua orang bawahannya untuk mempelajari ajaran etikanya.
Pendirian serta pegangan yang kukuh adalah pada prinsip kejujuran, berbuat baikserta ketaatan kepada nenek moyang dan ibu bapa. Kung berpendapat melalui pendidikan moral, kesenian dan ketaatan kepada adat nenek moyang, barulah Cina (pada masa itu) akan menjadi sebuah negara maju dan harmoni dengan pemerintah dan rakyat yang adil, bersefahaman serta bertamadun. Akan tetapi, ada raja yang tidak bersetuju dengan ajaran Kung lalu memecat Kung dan beliau sendiri akhirnya tidak berminat untuk menyertai politik kerana tidak memberikan ketenangan kepada dirinya. Akhirnya beliau meletakkan jawatan dalam politik dan mula mengembara selama 13 tahun untuk mencari ilmu.Beliau mula memberi fokus semula dalam usaha mendidik.
Kesan dari pengalaman politik yang dilalui, beliau berjaya menulis dan menghasilkan set panduan ajaran-ajaran etika yang lebih sempurna khususnya bagi menghasilkan sebuah negara yang aman dan adil. Di hujung usia. Kung banyak mengabdikan diri mengumpul, menghimpun dan menyunting karya-karya tradisi klasik dengan cara menulis dan mengolah kembali bentuk karya tersebut.
Kung menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 479 SM dalam usia 73 tahun di daerah kelahirannya Lu dan mayatnya dikatakan telah dibakar.
Lebih kurang 250 tahun selepas kemangkatan Kung, lahirnya seorang maharaja China bernama Tsin Shih Huang. Maharaja ini mempunyai sifat kekuasaan yang tinggi dan ingin menunjukkan bahawa beliau merupakan maharaja yang bijaksana dan sangat berkuasa pada waktu itu. Beliau berusaha untuk menghapuskan semua bukti-bukti kejayaan yang telah berlaku sebelum zaman pemerintahannya sehingga beliau telah mengarahkan supaya semua buku-buku atau catatan dan khazanah orang-orang cerdik pandai sebelum zaman di musnahkan termasuklah buku-buku ajaran Kung Fu Tze dan Mang Tzu turut dibakar. Malah turut dinyatakan bahawa sekumpulan besar golongan cerdik pandai turut dibunuh oleh Maharaja ini. Walau bagaimanapun, peristiwa yang berlaku lebih kurang pada 212 sm ini tidak dapat menghapuskan ajaran-ajaran Kung Fu Tze kerana setelah kematian maharaja ini, ajaran pemikiran dan falsafah Kung Fu Tze mula dipelajari semula dan kembali berkembang di China.
Kung Fu Tze
No comments:
Post a Comment