Wednesday, April 20, 2011

Taoisme 도교

Ajaran Taoisme dikatakan muncul sekitar abad ke-6 SM iaitu seiring dengan kemunculan ajaran Konfusianisme malah ada yang mendakwa ia muncul lebih awal daripada ajaran Konfusianisme. Taoisme dengan disandarkan kepada perkataan Tao () yang membawa maksud jalan (the Way). Ajaran Taoisme menekankan pendekatan atau usaha untuk mengikuti, memahami, mentafsir tanda-tanda alam sebagai satu petunjuk dari Tao yang berkuasa terhadap alam ini sehingga akhirnya dapat hidup harmoni bersama-sama dengan Tao tersebut.




Tao


Taoisme mengajar bahawa susunan atau aturan alam telah ditentukan oleh Tao dengan baik. Malah semua perkara juga lahir dari limpahan Tao. Maka tidak muncul persoalan baik atau buruk kepada sesuatu perkara kerana baik atau buruk sesuatu perkara tersebut adalah berbeza mengikut perkara yang dinisbahkan atau siapa yang menanggapinya.

Ajaran Taoisme ini dilihat memberi penekanan kepada hubungan manusia dengan alam tabii sehingga menyarankan manusia agar mengikut semua tata cara perjalanan alam tanpa membuat perubahan. Berbeza dengan pendekatan Konfusianisme yang lebih menekankan terhadap pembangunan moral dan penekanan terhadap nilai baik dan buruk serta hubungannya dengan pembentukan sebuah masyarakat yang harmoni.

Contohnya, dalam perbezaan pembetulan akhlak baik dan buruk menurut Konfusianisme dan Taoisme. Bagi aliran Taoisme, tidak perlu kepada didikan fizikal mahupun mental yang bersungguh tetapi hanya perlu untuk tidak membuat apa-apa atau dalam istilah Taoisme "wu wei" bermasksud duduk diam (not doing) dan menerima semua yang telah diaturkan oleh alam dengan baik.


Keseimbangan Yin dan Yang mempengaruhi perkembangan hidup dalam Taoisme


Keseimbangan kuasa Yin dan Yang juga penting untuk menentukan keseimbangan keharmonian dalam kehidupan manusia dan alam. Justeru jika berlaku sesuatu bencana, ia bukanlah satu keburukan kerana bencana itu hanyalah disebabkan oleh tidak seimbangnya kuasa Yin dan Yang. Secara umumnya, ajaran Taoisme ini ditanggapi dan digunakan dengan pelbagai tafsiran dan pendekatan. Umumnya terdapat tiga kecenderungan utama melalui pendekatan falsafah, mistik dan magik.


PENDEKATAN FALSAFAH (TAO JIA)

Ini merupakan kecenderungan di peringkat awal kemunculan ajaran Taoisme. Kemunculan awal Taoisme merupakan satu reaksi kepada permasalahan pemerintahan dan politik di negeri China. Justeru, ajaran Taoisme (di dalam Tao Te Ching yang ditulis oleh Laozi) lebih mengutamakan penjelasan terhadap satu konsep falsafah yang dapat membantu bagi mencapai keharmonian hidup bagi seseorang manusia. Falsafah yang utama ini didasarkan kepada konsep Tao dan Te. Kedua-dua konsep ini dikukuhkan secara khususnya melalui ajaran konsep Wu Wei.


PENDEKATAN MISTIK

Terdapat pula sebahagian penganut Taoisme yang memahami ajaran ini melalui pendekatan mistik. Pendekatan ini tidak difahami oleh orang ramai. Hanya sebahagian golongan tertentu yang memahami Tao dengan cara mistik ini. Asas utama pendekatan ini ialah mempercayai bahawa manusia yang menjadi pusat kesedaran sesuatu. Apa yang perlu dicari adalah Te iaitu satu kekuatan yang menjadi daya pengikat masyarakat dan ia hanya wujud dan berpusat di dalam diri setiap individu masyarakat tersebut. Maka pendekatan ini memberi fokus kepada batin manusia. Amalan utama yang dilaksanakan adalah pelaksanaan meditasi.


PENDEKATAN MAGIK

Bagi masyarakat umum, pendekatan magik menjadi pilihan. Penggunaan perkataan Tao Te Ching difahami sebagai satu sumber kepada pelaksanaan magik atau ilmu-ilmu silap mata dan keajaiban. Contohnya, bagi sesiapan yang memahami dan mempelajari Tao dengan sempurna, maka individu itu boleh berjalan di atas api tanpa terbakar, berjalan di atas air tanpa tenggelam, boleh menembusi batu-batu dan dinding-dinding tanpa cedera.

Kesannya, muncul beberapa bacaan mantera atau jampi khusus serta penggunaan senaman atau bahan kimia khusus yang perlu diamalkan oleh individu yang terlibat seperti penggunaan golden potion (cecair emas hasil dari teori-teori kimia dalam Taoisme) yang dianggap akan memberi umur dan muda yang berpanjangan, pengamalan diet yang tertentu mengikut teori macrobiotics, penjagaan kesihatan melalui senaman Tai Chi Quan dan penghasilan ubat-ubatan herba dan seumpamanya.

Namun begitu, ketiga-tiga pendekatan ini saling berkaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh, bagi mencapai tahap keabadian hidup, seorang penganut Tao mestilah mengamalkan beberapa mantera khusus semasa membersihkan diri dan berusaha untuk hidup bersama dengan Tao di samping penggunaan bahan kimia dan cara penjagaan fizikal yang khusus.

Amalan-amalan Taoisme ini sering diaplikasikan khususnya dalam kehidupan masyarakat Cina seperti pengamal ubatan-ubatan Cina yang menggunakan teori-teori kimia yang dibentuk oleh penganut Tao, penggunaan Feng Shui dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perkara dan ini berkait rapat dengan teori keseimbangan Ying dan Yang, aktiviti senaman Tai Chi yang berkait rapat dengan teknik kawalan nafas (Chi).









Tao Te Ching


Kitab Suci Taoisme - Tao Te Ching

Sebuah kitab suci yang utama iaitu Tao Te Ching yang bermaksud ajaran mengenai Tao dan Kebaikan. Tao Te Ching merupakan hasil karya dari para sarjana Taoisme. Namun dalam catatan legenda, ia didakwa telah diasaskan oleh pengasas utama Taoisme iaitu guru Laozi (The Great Master). Namun begitu, selain Lao Tzi, guru kedua yang banyak mempengaruhi Tao Te Ching adalah Zhuang Zi malah sebahagian catatan menjelaskan bahawa Zhuang Zi adalah guru pertama yang menulis Tao Te Ching dengan lebih tersusun manakala Laozi hanya meninggalkan ajarannya di dalam bentuk tradisi lisan.

Namun di antara dua dakwaan ini, pendapat yang paling terkenal dan diterima oleh ramai sarjana adalah Laozi merupakan penulis Tao Te Ching yang pertama dan mempunyai kemungkinan yang besar bahawa pengikut-pengikut Laozi yang menyempurnakan penulisan Tao Te Ching sehingga membentuk buku yang ada pada hari ini.

Kebanyakan ajaran dalam bab-bab yang terkemudian adalah hasil penambahan idea-idea tokoh-tokoh Taoism yang datang selepas Laozi dan Zhuangzi. Tao Te Ching secara aslinya ditulis dengan bahasa Klasik Cina yang sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk moden. Bentuk penulisan dalam karya ini kebanyakannya ditulis dalam bentuk karangan pendek dan ringkas, kadangkala menggunakan pendekatan puitis namun tidak mempunyai penggunaan tatabahasa yang banyak dan sering terdedah kepada pertikaian sehingga menggalakkan timbulnya pentafsiran yang pelbagai dalam sesuatu ayat.

Ajaran utama yang dibincangkan dalam Tao Te Ching adalah penjelasan dan pentafsiran mengenai Tao iaitu suatu jalan kuasa agung (Tao) dan juga penjelasan mengenai kebaikan/kekuasaan (Te). Buku suci ini mengandungi 81 bab terbahagi kepada dua bahagian iaitu ajaran mengenai Tao dijelaskan dari bab 1 hingga 31 manakala ajaran mengenai Te pula dijelaskan dari bab 38-81.

Antara tema- tema lain yang dibincangkan dalam kitab suci ini adalah persoalan mengenai Tao atau asal yang tidak nyata, penjelasan mengenai Te dan pendekatan yang sesuai untuk hidup damai di atas mua bumi, keharmonian dan kestabilan dua perkara yang bertentangan iaitu Yin dan Yang, hukum alam semula jadi dan hubungannya dengan manusia (natural law), kekosongan (emptiness), dan seumpamanya.

Ajaran yang disampaikan lebih menjurus kepada pandangan falsafah Taoisme namun sebahagian darinya turut mengandungi kritikan terhadap ajaran Konfusianisme. Ekoran dari pembaharuan yang dilakukan oleh Zhuang Zi ini, Tao Te Ching dan idea Zhuang Zi itu sendiri dilihat menjadi pencabar utama kepada idea Konfusianism khususnya dalam menjelaskan Tao sebagai kuasa semula jadi yang harus diikuti aturannya tanpa perlu dilawan (perlu kepada wu wei) bagi menjamin keharmonian manusia dan alam. Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Konfusianisme yang menekankan kepada usaha dan kesungguhan dunia (manusia) yang diperlukan dalam menjamin keharmonian alam.


TAO TS’ANG: (BUKU PERATURAN / UNDANG-UNDANG TAOISME)

Pada tahun 471 masihi pendeta-pendeta Taoisme telah mengumpulkan dan menerbitkan peraturan atau undang-undang Taoisme pertama yang dinamakan sebagai Tao Ts’ang .

Undang-undang dan peraturan ini turut berasaskan kepada ajaran Tao Te Ching sebagai sumber utama dan pada masa ini Tao Te Ching dianggap dan diterima sebagai karya suci Tuhan kesan dari gerakan keagamaan Taoisme.

Kumpulan undang-undang ini turut mengandungi tulisan atau catatan yang berkaitan dengan kimia dan keabadian, kehidupan yang abadi dan semangat pahlawan, kerja-kerja kebaikan dan kelanjutan usia, upacara-upacara ritual, meditasi, hikayat nenek moyang dan bacaan-bacaan mantera yang berkaitan dengan pemikiran Taoisme.

Pada tahun, 748 pemerintah Tah Xuan Chong (dinasti Tang) iaitu seorang yang mendakwa berasal dari keturunan Laozi mula mengarahkan pegawai-pegawainya untuk mengumpulkan semula semua ajaran Laozi dari seluruh pelosok dunia dan akhirnya mereka berjaya mengumpulkan 7300 naskhah ajaran dan ia dijadikan sebagai undang-undang dan peraturan Taoism yang kedua.

Diikuti dengan perkembangan teknik percetakan pada tahun 1016 di China (dinasti Ming), undang-undang turut dinilai semula dan akhirnya memiliki sebanyak 4565 naskhah ajaran yang membentuk peraturan dan undang-undang Taoisme yang ketiga.

Manakala pada tahun 1441, versi terakhir undang-undang Taoisme mula diperkenalkan dan akhirnya mengandungi 5318 naskhah peraturan dan undang-undang


PERKEMBANGAN AJARAN TAOISME

Di bawah pengasas Laozi dan beberapa pengikut yang lebih awal seperti Zhuang Zi dan Huainan Zi ajaran Taoisme merupakan satu panduan terhadap pembentukan falsafah kehidupan manusia dan hubungannya dengan alam.

bermula sekitar tahun 206 b.c, iaitu di bawah pemerintahan dinasti Han ajaran Taoisme dan pengikutnya mula dipengaruhi dengan unsur-unsur keagamaan seperti penyembahan Laozi sebagai Tuhan, penerimaan kitab Tao Te Ching sebagai satu kitab suci Tuhan dan munculnya upacara dan idea-idea ketuhanan yang lain.

Pada masa ini juga penganut Taoism terbahagi kepada beberapa mazhab besar seperti mazhab Tian Shi Dao (Way of The Celestial Masters) atau Wu Dao Mi Dao (Way of the Five Pecks of Rice) yang diasaskan oleh Zhang Dao Ling dan Zhung Lu, mazhab Tai Ping Tao (Yellow Turban) yang diasaskan oleh Chang Chueh (184 c.e), mazhab Mao Shan (The Highest Purity Sect) yang diasaskan oleh Yang Xi pada tahun364 dan mazhab Quenzhen (The Complete Reality Sect) yang diasaskan oleh Whang Zhong Yang pada tahun 1170.

Kepercayaan keagamaan juga tersebar meluas khususnya mula mempercayai proses kehidupan semula (reincarnation) Zhang Dao Ling .

Perkembangan ajaran Taoisme khususnya sebagai sebuah agama terbukti dengan kukuh apabila tertubuhnya organisasi keagamaan , tempat ibadah dan upacara keagamaan yang khusus untuk diamalkan oleh penganut Taoism sehingga menjadikan ajaran Taoisme sebagai satu dari agama yang terkenal di China.

Selain itu, penganut ajaran Taoisme mempunyai kecenderungan utama dan berusaha untuk mencari ajaran bagi menyembuhkan penyakit dan mencipta ajaran bagi memanjangkan umur dan hidup yang abadi sama ada melalui pelaksanaan amalan atau upacara tertentu, penggunaan bahan kimia khusus seperti penciptaan cecair wangian emas yang didakwa dapat memanjangkan umur, serbuk-serbuk untuk mendapat awet muda dan bahan-bahan yang lain.

Pada zaman pemerintahan dinasti Tang (618-907), kecenderungan yang muncul di dalam aliran Taoisme adalah menjadikan ajaran Tao satu ajaran yang boleh berinteraksi dengan agama-agama besar lain yang wujud di China seperti Konfusianisme dan khususnya Buddhisme.

Pada masa ini beberapa konsep utama dalam setiap agama cuba diintegrasi dengan konsep di dalam agama lain sebagai contoh Konsep Tao (the way) dikatakan hampir sama dengan konsep Dhamma (the path) dalam ajaran Buddhisme, konsep Wu Wei (diam) dalam ajaran Taoisme pula dikatakan sama dengan konsep nirvana dalam ajaran Buddhism dan seumpamanya.

Sehingga akhirnya ajaran Taoisme telah mempengaruhi ajaran dan konsep kepercayaan di dalam Zen Buddhism malah turut mempengaruhi ajaran Neo Konfusianisme yang muncul dalam dinasti Song.

Penggunaan kitab ini tersebar secara meluas dikalangan masyarakat Cina. kitab suci ini mula diterjemahkan dalam pelbagai bahasa antarabangsa terutamanya dalam bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan Jerman. Sungguhpun mempunyai pelbagai versi, ajaran Tao Te Ching ini tetap menjadi teras dalam semua karya dan ajaran Taoisme.


TAOISME SEBAGAI AGAMA

Zhang Dao Ling: (Wu Dao Mi Dao)

Usaha ini merupakan satu dari reaksi Zhang Zue terhadap masalah penyelewengan dan ketidaksetabilan yang berlaku dalam pemerintahan yang dinaunginya. Beliau dan pengikutnya mula menyembah satu dewa yang digelar sebagai Huang Lo iaitu gabungan dari nama Huang Di dan Lo Tzi yang dianggap sebagai Tuhan. Akhirnya, gerakan keagamaan Taoisme ini akhirnya mencapai puncak perubahan yang besar semasa di bawah pimpinan tokoh Taoisme yang bernama Zhang Dao Ling sekitar tahun 142.


Zhang Dao Ling


Di bawah pemerintahan dinasti Han ini, kehidupan Zhang Dou Ling berhadapan dengan penyebaran dan kemasukan ajaran Buddhisme ke negeri China secara meluas dan mendapat sambutan dari banyak pihak. Zhang menyedari bahawa ajaran Buddhisme ini semakin diminati ramai kerana ajaran yang ditawarkan adalah satu jalan kesempurnaan spiritual yang tinggi yang mana tidak pernah disentuh dalam ajaran Taoisme mahupun Konfusianisme.

Zhang mendakwa telah mendapat amanah dari Laozi (yang mana pada masa ini telah menjadi dewa di langit) untuk membentuk Taoisme sebagai satu aliran agama dan satu sistem kepercayaan dan penyembahan yang lebih khusus bagi menggantikan kepercayaan adat nenek moyang yang telah muncul pada masa itu supaya mesti diasaskan dan diselaraskan kepada prinsip Tao sehingga dapat memenuhi kekosongan spiritual masyarakat Cina waktu itu.

Gerakan keagamaan Zhang ini kemudiannya dikenali sebagai gerakan Tian Shi Dao yang bermaksud gerakan keagamaan jalan dewa syurga (Way of The Calestial Master) atau nama lain bagi gerakan ini adalah Wu Dao Mi Dao (Way of the Five Pecks Rice) kerana setiap individu yang ingin menyertai kumpulan ini dikehendaki memberi lima sukat beras.

Zhang sendiri menjadi guru pertama yang diberikan hak dan keutamaan besar bagi mengasaskan ajaran agama ini oleh Dewa Tuhan Lao (Tai Shang Lao Dao) iaitu Laozi.

Selaras dengan anggapan Laozi sebagai Tuhan maka kitab suci Laozi turut dianggap sebagai kitab suci Tuhan yang dirujuk kepada Tuhan Laozi.

Mempunyai ciri-ciri baru yang mengandungi kepercayaan kepada Tuhan dan Tuhan-tuhan yang lain, mempunyai satu susunan bacaan jampi atau ayat-ayat magik yang tersendiri, mempunyai set upacara keagamaan tertentu untuk diikuti dan diamalkan oleh para penganutnya.

Antara ajaran utama yang terkenal dalam gerakan keagamaan ini adalah pemahaman konsep Qi yang menjadi punca kepada keabadian, penyakit dan pengampunan dosa.

Qi (tenaga) itu wujud dan meresap dalam semua benda. Penjagaan Qi yang betul merupakan satu ajaran yang sangt diutamakan kerana mereka mendakwa bahawa Qi mempengaruhi keabadian hidup dan punca berlakunya dosa bagi seseorang individu.

Antara perkara utama yang boleh mengurangkan Qi dalam badan adalah kekerapan melakukan seks dan perkara utama yang dapat menambahkan Qi adalah melalui amalan meditasi.

Hal ini dijelaskan bahawa, Qi yang seimbang dalam badan seseorang manusia menjadi sumber untuk mencapai keabadian hidup. Kekurangan Qi di dalam diri seseorang manusia menyebabkan individu tersebut mendapat penyakit dan akhirnya mati.

Dalam konteks keabadian, sekiranya seseorang individu itu mempunyai Qi yang kurang atau tidak mempunyai Qi semasa keadaan pura-pura mati maka manusia tersebut tidak akan hidup semula di alam lain dan akhirnya terus dikurung dalam makam kematian.

Ajaran lain yang terkenal adalah ajaran pengampunan dosa. Ini kerana setiap penyakit yang menimpa kepada seseorang manusia itu didakwa berkaitan dengan dosa yang dilakukan dan kekurangan Qi. Justeru, setiap manusia mestilah memohon keampunan atas dosa yang dilakukan bagi mengelakkan penyakit dan dapat memudahkan urusan untuk bersama dengan Tao sehingga memperoleh hidup abadi.

Konsep jalan keselamatan juga turut wujud dan semua manusia berhak mengharap kepada jalan keselamatan ini. Selaras dengan ini, Zhuang Dao Ling juga digelar sebagai penyembuh (Healer). Beliau terkenal dengan ilmu rawatan yang agung dan ajaib yang mana bukan sahaja kepada penyakit fizikal malah berkebolehan dalam merawat penyakit spiritual dan psikologi manusia.

Zhang Juga menubuhkan satu organisasi pimpinan keagamaan Taoism melalui lantikan ketua-ketua atau pendeta-pendeta ajaran Taoisme ini. Organisasi yang dibentuk oleh Zhang terbahagi kepada 24 unit atau jemaah dan setiap satu jemaah diketuai oleh seorang pendeta atau sami yang juga dikenali sebagai pembebas.

Pembebas ini berkuasa untuk membebaskan manusia dari dosa yang dimiliki. Setiap jemaah ini turut mempunyai rumah ibadah, bilik penyembahan, dewan penyucian yang tersendiri. Antara mazhab yang terkenal di bawah pengaruh gerakan Tian Shi Dao (Way of Calestial Master) adalah mazhab Mao Shan (High Purity Sect) dan mazhab Quenzhen (Complete Reality Sect).


No comments:

Post a Comment