Thursday, March 4, 2010

Agama: Bukan Falsafah

Siapa sahaja yang bercakap-cakap mengenai falsafah atau agama bolehlah dikatakan bahawa dia telah insaf dan mengerti bahawa tugas hidupnya bukan cuma setakat mencari makan, minum dan ke bilik air kemudian tidur, seperti ulat lalat dan sebagainya.

Tugasnya yang sebenar tidak sekadar itu, kerana dia sebagai manusia yang banyak membuat jasa kepada dunia dan meninggalkan pelbagai aneka tamaddun itu tidaklah setaraf dengan ulat-ulat tadi yang hanya mahu merayap di sini hinggap ke sana kemudian mati dengan tidak membuat sebarang bukti dan meninggal sebarang kesan untuk dikenang dan disambung.

Dia mengerti akan hal itu.

Sebab itu dia sanggup menggetuskan sebahagian dari masa dan umurnya untuk bercakap-cakap dan mempelajari perkara-perkara agama dan falsafah. Sekalipun dia sendiri tahu bahawa dua benda ini tak dapat mengenang jauh sekali dari memenuhkan sakunya.

Tetapi apa boleh buat kerana di dalam benda dua inilah saja manusia akan ketemu dengan tugasnya yang jati tadi. Dalam waktu manusia mencari-cari tugas ini maka akan banyaklah timbul perkara-perkara yang sungguh-sungguh membingungkan.

Dia bingung kerana dia mula menggunakan fikiran. Tetapi anehnya dia terasa lazat bahkan semakin segar dengan bingung jenis ini. Kerana dia yakin dengan sepenuhnya bahawa dia sekarang sedang memecahkan ruyung dan tak lama akan bertemu sagu.

Di antara perkara-perkara yang timbul ialah perkara akhirat.

Akhirat: Perlu atau tidaknya. Ada atau tiadanya. Saya dan saudara akan mati. Sebelum kita tua entah berapalah yang sudah mati? Tak dapat ditentu. Apa yang tentu ialah kesemuanya tidak mahukan mati. Kerana mahu kepada hidup adalah kehendak semula jadi manusia.

Tetapi, dalam masa kita hidup acapkali berlaku perkara-perkara yang sepatutnya tidak berlaku. Misalnya; jasa baik daripada saya kadang-kadang tidak dikenang orang. Dan boleh jadi titik peluh saudara sendiri pernah kering begitu saja dengan tidak mendapat balasan yang sepatutnya.

Sudahlah begitu, kadang-kadang apa yang diterima ialah maki hamun, ejek dan aniaya. Kalau kita masih kecil; yang gagah dialah raja. Maka memang tak menjadi apa-apa hal sekiranya budi baik atau jiwa luhur itu dipijak-pijak oleh kebengisan atau diligam oleh keganasan.

Tetapi setelah kita besar dewasa, akal pun memenuh, maka alangkah sugurnya kalau mati tidak sempat menyaksi pusingan yang kedua; ketika mana kebenaran dapat menguasai keadaan dan budi baik dapat bersila dengan megahnya di atas bangkai kebengisan dan aniaya.

Sekalipun tidak sekarang tapi tidak apalah kalau di alam lain pun. Alam yang kita sebut dan kita namakan: Akhirat.

Jadi, akhirat adalah idaman semua. Idaman yang diimpi-impikan oleh kemanusiaan. Kerana bukan sahaja dapat disaksikan nanti pembalasan yang wajar bagi sebelah-menyebelah oleh satu kuasa yang bersih dari tiri meniri. Tetapi di samping itu dapat juga kita memuaskan nafsu berseronok dengan sanak saudara, sahabat handai yang satu sama lain dulunya sungguh bersih kerana telah dipisah secara paksa oleh mati dan lain-lain.

Padanlah kalau seorang failasuf berkata: Nasib baiklah kerana golongan Anbiya dan Rasul telah datang ke dunia membawa ajaran adanya hari akhirat. Kalau tidak maka kita golongan intelek mesti memberitahu umum akan adanya hari seperti itu nanti.

Maka bagi meyakinkan sungguh-sungguh akan akhirat biar sampai bertunjang di dalam hati, jangan main-main agak dan tahyul maka manusia terpaksa memilih satu di antara dua: Falsafah atau agama.

Akan falsafah tetap tidak berdaya membawa manusia mengenali segenap liku akhirat kerana falsafah adalah bererti fikiran. Pemikiran biarpun bagaimana akan tetap berligar di dalam garisan-garisannya yang tertentu saja.

Tidak akan sampai menebus jauh ke akhirat yang majhul. Kerana manusia telah tidak dan akan tidak mempunyai hisab akhirat, sains akhirat, makmal akhirat iaitu dari bahan-bahan yang biasa digunakan oleh akal fikiran untuk meniti sampai mengenali benda yang difikirnya (akhirat).

Maka lumpuhlah pemikiran, tegasnya: Falsafah, dan tegaklah agama. Tegaklah agama sebagai gergasi tunggal mengawal dan mendokong manusia sampai jauh ke akhirat puncanya ialah kerana agama tidak dari pemikiran tetapi dari wahyu.

Wahyu bererti: Rencana. Rencana dari pengarang dunia dan dari pengarang akhirat sendiri. Justru itu wahyu mustahil berlainan dengan yang sebenar, dengan apa yang telah dicetak mengenai akhirat.

Dihantar oleh:Aiman_Phoenix
Editor: deynarashid

No comments:

Post a Comment