Sunday, March 28, 2010

SIRI I:THEODICY - KEJAHATAN ATAU KEBURUKAN DAN HUJAH IBNU RUSHD

Permasalahan tentang kejahatan atau keburukan (evil) wujud selari dengan kewujudan manusia. Bermula dengan peristiwa kejatuhan Adam ke muka bumi yang termakan desakan Hawa (yang dianggap sebagai sumber kejahatan dalam teologi Kristian). Persoalan ini masih dibincangkan dalam pelbagai tradisi agama dan falsafah. Kesannya pelbagai manusia mentafsir atau menafikan kewujudannya untuk disesuaikan dengan pegangan mereka. namun pusat permasalahan ini ialah kesukaran menyelesaikan pertentangan yang wujud dalam tiga usul seperti Tuhan Maha Kuasa, Tuhan Maha Sempurna dan Kejahatan Wujud.

Masalah yang timbul daripada usul ini ialah jika seseorang individu menerima salah satu usul iaitu Tuhan Maha Kuasa atau Tuhan Maha Sempurna, dia terpaksa dengan sendirinya menolak usul Kejahatan Wujud. Jika salah satu daripada proposisi sama ada Tuhan Maha Kuasa atau Tuhan Maha Sempurna diterima sebagai benar, maka dia terpaksa akur untuk menolak atau menerima usul Kejahatan Wujud. Pertentangan atau dilema ini pernah disuarakan oleh David Hume iaitu:

“Is he willing to prevent evil, but no able? Then he is impotent. Is he able, but not willing? Then he is malevolent. Is he both able and willing? Whence then is evil?”

Dari petikan di atas dapat difahami bahawa jika Tuhan mempunyai iradah tetapi tidak mampu mengelak kejahatan dari berlaku maka bermakna Tuhan dengan sengaja ingin melakukan kejahatan. Permasalahan yang timbul dalam aspek ini kerana persoalan kejahatan dilihat dalam konteks logik. Sebaliknya jika dilihat dalam bentuk kepercayaan atau keimanan agama, persoalan demikian kurang menimbulkan masalah kerana manusia menerimanya sebagai doktrin agama yang mesti diterima.

Dalam perbincangan falsafah agama, persoalan kejahatan dirujuk kepada dua aspek iaitu keburukan atau kejahatan kerana faktor alam semula jadi seperti kerosakan dan keburukan yang disebabkan oleh gempa bumi, banjir, kemarau dan sebagainya yang popular dengan nama keburukan fizikal dan keburukan moral iaitu amalan buruk atau keji yang dilakukan oleh manusia seperti mencuri, membunuh, berperang dan sebagainya.
Keburukan jenis pertama secara langsung dikaitkan dengan Tuhan dan berlaku secara semula jadi di luar kawalan kemanusiaan. Manakala keburukan jenis kedua iaitu keburukan moral adalah disebabkan oleh manusia yang diberikan kehendak dan akal untuk menentukan perbuatannya. Namun persoalan di sini, jika manusia diberi kebebasan dalam menentukan perbuatannya, maka akan timbul persoalan kebebasan Tuhan dan campur tangan-Nya dalam urusan manusia. Terdapat dua kecenderungan oleh mereka yang mempertahankan dan golongan theodicy yang berusaha mempertahankan wujudnya kejahatan atau keburukan.

Bagi golongan pertama, berpandukan kepada kepercayaan secara rasional mereka menegaskan bahawa Tuhan wujud dan kewujudan kejahatan tidak bertentangan dengan kewujudan Tuhan. Manakala bagi golongan theodicy pula, mereka menegaskan bahawa adalah di laur kemampuan manusia untuk menjelaskan tentang persoalan kejahatan atau keburukan. Gabungan antara mereka yang mempertahankan kerasionalan kejahatan dan keburukan dengan mereka dari golongan theodicy, maka lahirlah apa yang diistilahkan sebagai Pertahan yang lebih baik. Maka istilah ini menjelaskan bagaimana kejahatan atau keburukan difahami sama ada sebagai satu keperluan yang wajib bagi membawa kebaikan yang lebih atau ia merupakan sebahagian daripada kebaikan.

Ibnu Rusyd menyatakan bahawa semua benda dalam dunia ini adalah baik yang dihasilkan oleh iradah dan rekaan Allah s.w.t.. Keburukan wujud dalam dunia adalah disebabkan oleh unsur jisim yang ada. Sama ada dunia ini wujud atau tidak, keburukan yang ada adalah semata-mata bagi mencapai kebaikan yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment