Sunday, March 28, 2010

SIRI II: IBNU RUSHD - PERMASALAHAN TEORI KEADILAN TUHAN

Penolakan Ibnu Rusyd terhadap teori subjektisme dari golongan Asy’ari dapat kita lihat di dalam kitabnya Manahij yang dipetik oleh G.F.Hourani dalam permasalahan keadilan Tuhan dan keadilan manusia. Ibnu Rusyd merakamkan teori Asy’ari tentang keadilan Tuhan seperti berikut:

“Pada mereka dunia tidak nyata dengan dunia nyata adalah berbeza. Golongan Asy’ari menegaskan apa yang dipanggil adil dan tidak adil hanya berdasarkan daripada perbuatan-perbuatan tertentu yang telah terikat dengan undang-undang dan ketentuan. Oleh itu, seorang manusia adalah adil apabila ia melakukan sesuatu yang ditetapkan oleh undang-undang. Manakala seseorang yang bertentangan dengan undang-undang. Menurut Asy’ari, bagi Allah s.w.t ia-Nya tidak terikat dengan mana-mana ketentuan. Oleh itu, tidak wujud perbuatan yang dikenali sebagai adil dan tidak adil ataupun ia difahami semua perbuatan Allah s.w.t. adalah adil. Golongan Asy’ari juga menambah di dalam diri manusia tidak wujud adil dan tidak adil secara semula jadi.”

Bagi menolak pandangan ini, Ibnu Rusyd membawa hujah dengan mengatakan:

“Tidak ada makna sekiranya tiada kebaikan dan keburukan lahir dalam diri. Tetapi ‘self-evident’ yang menilai adil itu baik dan ketidakadilan itu adalah jahat. Sekiranya menyekutukan Allah s.w.t adalah tidak baik bukan dari dalam diri secara semula jadi, tetapi ianya hanya berdasarkan undang-undang. Maka jika undang-undang menyifatkan menyekutukan Allah s.w.t. itu baik secara tidak langsung perkara itu menjadi baik.”

Ibnu Rusyd menggunakan hujah di dalam al-Quran yang mengatakan Tuhan itu adil: (Surah Yunus: 44)

إن الله لايظلم الناس شيئا ولكن الناس أنفسهم يظلمون


Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah Yang menganiaya diri mereka sendiri".


Berdasarkan petikan ayat di atas, ianya menunjukkan bahawa Allah s.w.t. itu bersifat adil dan Dia tidak berada di bawah ketetapan undang-undang. Maka keadilan itu mempunyai maksud yang bersifat objektif.


TEOLOGI: PERMASALAHAN KEJAHATAN

Persoalan yang selalu dibangkitkan dan terpaksa dihadapi oleh Ibn Rusyd ialah bagaimana mungkin Tuhan Pencipta yang sempurna boleh mencipta kesengsaraan atau kejahatan di dalam dunia? Golongan Asy’ari mengelak permasalahan ini dengan mengemukakan definisi mereka tentang nilai. Bagi mereka kejahatan merupakan seseorang yang melakukan kesalahan mengenai suruhan Tuhan secara berterusan dan Tuhan tidak akan melakukan kesalahan, ini bermakna Tuhan adalah tidak jahat. Tambah mereka lagi, Tuhan mencipta kejahatan dalam dunia ini tetapi tidak meletakkan diri-Nya dalam kejahatan.

Pendapat ini ditolak oleh Ibn Rusyd walaupun definisi tentang kejahatan itu diterima. Pada pandangan beliau sesiapa yang jahat adalah seorang yang melakukan beberapa perbuatan ataupun mencipta sesuatu yang buruk kerana di dalam diri ada karekter yang jahat Jika Tuhan mencipta sesuatu kejahatan ini bermakna tidak wujud perbezaan antara Tuhan dan manusia.

1 comment:

  1. Menarik..

    Menyentuh kepada persoalan keadilan Tuhan ini, menurut fahaman Ahl Sunnah, Allah berkuasa mutlak untuk melakukan sekehendaknya, misalnya tidak salah jika Allah memasukan seluruh manusia ke dalam syurga dan tidak boleh dikatakan zalim jika Dia memasukan seluruh manusia ke dalam neraka. Persoalannya, apakah keadilan dan kezaliman ini xada perkaitan dgn Allah kerana fahaman Ahl Sunnah menyatakan setiap perbuatanNya x pernah bertetangan dgn undang2?

    ReplyDelete